Alhamdulillah syukur ke hadrat ALLAH pemilik alam ini kerana kita dipanjangkan umur untuk menikmati EidulAdha dengan meriah dan penuh rasa ketaqwaan kepada ALLAH,buktinya pada 20 Nov bersamaan 13 Zulhijjah 1431H terlaksanalah ibadah Korban yang diadakan oleh pihak Pengurusan HPA dengan kerjasama Komuniti HPA di Serendah.

Masjid yang tersergam indah menyambut mesra kedatangan kami ke sana. Alhamdulillah dijangka 700 orang penduduk sekitar datang untuk memeriahkan lagi sambutan majlis. Majlis dilengkapkan dengan Tazkirah "Kehebatan Ibadah Korban" yang disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Ahmad Adnan bin Fadhil,Setiausaha Panel Syariah HPA. Antara isi ceramah beliau berkisar tentang hikmah berada di samping binatang korban,doa yang sunat dibaca, amalan sebelum dan selepas korban dan kaedah pengagihan daging korban mengikut syariat.



Alhamdulillah berkat kerjasama semua Majlis berjalan dengan lancar, 2 ekor lembu disembelih untuk diagihkan dagingnya dan sebahagian dimasak bagi mengeratkan lagi silaturrahim bersama masyarakat sekitar. Alhamdulillah sup "gear box" menjadi hidangan istimewa lengkap dengan acar nenas dan pembuka selera buah oren.

Pihak syarikat juga menganjurkan Pertandingan mewarna yang dibahagikan kepada 2 kategori,9 tahun ke bawah dan 12 tahun ke bawah. Pemenang diberikan hadiah berupa Wang Tunai,Hamper,minuman Bikarbonat serta pensel warna. Alhamdulillah sambutan diluar jangkaan.
Pihak syarikat merakamkan ucapan terima kasih yang sebesar-besarnya kepada semua pemimpin yang hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis ini.